AKSI Heung-min ketika menentang Uruguay.
AKSI Heung-min ketika menentang Uruguay.
AFP

Doha: Son Heung-min berkata, dia gembira dapat beraksi selepas kapten Korea Selatan itu yang masih dalam proses pemulihan kecederaan muka diturunkan ketika seri 0-0 dengan Uruguay di Piala Dunia semalam.

Dia memakai topeng bagi melindungi kecederaan dialaminya ketika beraksi bersama Spurs dalam saingan Liga Juara-Juara dan membantu Korea Selatan meraih satu mata dalam aksi pertama mereka di Qatar.

Penyerang berusia 30 tahun itu menjalani pembedahan di sekitar mata kiri hanya tiga minggu lalu dan semalam adalah aksi kompetitif pertamanya sejak itu.

"Saya rasa ok, bukan saya seorang pakai topeng. Ada juga pemain lain memakainya. Saya rasa selesa," katanya kepada wartawan.

"Saya gembira berada di sini, gembira walaupun beraksi dengan topeng, ia menakjubkan."

Heung-min kurang mencipta impak dalam perlawanan menyaksikan percubaan Uruguay dua kali terkena tiang tetapi jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento berkata, penyerang itu perlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik.

"Kita perlu meletakkannya dalam konteks. Son pemain hebat sehinggalah dia mengalami kecederaan. Dia tidak aktif agak lama dan hanya menyertai pasukan beberapa hari lalu. Sudah tentu dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas tercedera."

Hwang Ui-jo melepaskan peluang terbaik Korea selepas rembatannya dari jarak sembilan meter melewati palang gol dan Heung-min berkata keputusan seri itu adalah adil.

"Kedua-dua pasukan gembira dengan keputusan. Ia aksi menarik, sengit dan saya fikir 0-0 adil," katanya.

"Kami berjuang dan bersaing, kami hampir dapat tiga mata tetapi Uruguay juga beraksi dengan baik."

Korea Selatan akan menentang Ghana dalam aksi Kumpulan H sebelum menentang pasukan Cristiano Ronaldo, Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 8:37 AM