RODRYGO dijangka tersenarai dalam kesebelasan Brazil lawan Cameroon.
RODRYGO dijangka tersenarai dalam kesebelasan Brazil lawan Cameroon.
AFP

Doha: Bintang muda Brazil, Rodrygo adalah penyerang lengkap yang boleh beraksi di sebelah kiri, kanan, sebagai pemain nombor 10 malah boleh menyarung jersi nombor sembilan.

Selepas prestasi mantap pada babak kedua ketika menentang Switzerland Isnin lalu, dia tampak bakal mengisi kesebelasan utama buat kali pertama malah mungkin mengambil alih posisi Neymar.

Pemain gantian, Rodrygo menjadi perancang jaringan kemenangan lewat Casemiro ketika mereka menewaskan Switzerland 1-0 dan sebelum itu menang 2-0 ke atas Serbia dalam aksi pembukaan Piala Dunia.

Brazil sudah pun mara ke peringkat 16 terakhir menjelang aksi terakhir Kumpulan G menentang Cameroon awal pagi Sabtu ini dan jurulatih Tite mungkin melakukan rombakan ketika Neymar belum pulih daripada kecederaan dialami pada aksi pertama mereka.

Casemiro percaya Rodrygo yang beraksi bersama Real Madrid mempunyai bakat untuk menjadi bintang hebat Brazil seterusnya.

"Tuhan memberikannya bakat bermain bola sepak. Sangat menarik melihat dia beraksi," kata pemain tengah Manchester United itu yang biasa beraksi bersama Rodrygo di Madrid.

Juara dunia lima kali itu tidak mempunyai masalah tanpa Neymar yang cedera dan Roberto Firmino serta Philippe Coutinho yang tidak tersenarai ke Qatar.

Raphinha, Antony, Vinicius Junior, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli, Pedro dan Richarlison kesemuanya menjadi saingan kepada Rodrygo namun pemain termuda dalam skuad Piala Dunia Tite itu mempunyai satu kelebihan besar berbanding yang lain.

"Dia seperti chameleon, boleh beraksi nombor sembilan, 10, 'Neymar' Real Madrid, mampu beraksi di sebelah kiri atau kanan," kata Matheus Bachi, penolong jurulatih Brazil yang juga anak Tite.

"Dia penyerang istimewa, boleh beraksi di pelbagai posisi, pantas, bijak dan berkesan ketika satu lawan satu," kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 10:59 AM