LO Celso kemungkinan terlepas peluang ke Piala Dunia Qatar. FOTO Reuters
LO Celso kemungkinan terlepas peluang ke Piala Dunia Qatar. FOTO Reuters
Reuters

Buenos Aires: Argentina tidak mempunyai pengganti segera untuk pemain tengah Giovani Lo Celso yang berada dalam bahaya terlepas Piala Dunia kerana kecederaan hamstring, kata jurulatih Lionel Scaloni.

Mereka sudah berasa gusar sebelum ini kerana kecederaan yang menimpa Paulo Dybala dan Angel Di Maria tetapi kehilangan Lo Celso, pemain utama dalam kemenangan Copa America dan kelayakan Piala Dunia menjadi tamparan hebat.

Lo Celso adalah tonggak penting Scaloni di bahagian tengah bersama-sama dengan Leandro Paredes dan Rodrigo de Paul.

"Secara logiknya memang terdapat pengganti, tetapi dari segi bola sepak tidak ada.

"Ada orang lain yang mempunyai kebolehan lain, tetapi terbukti bahawa dia banyak membantu kami," kata Scaloni kepada TyC Sports.

Lo Celso yang berusia 26 tahun digantikan pada minit ke-24 dalam perlawanan LaLiga Villarreal menentang Athletic Bilbao dan hasil pemeriksaan awal menunjukkan dia mengalami kecederaan otot putus.

Media Sepanyol melaporkan bahawa Villarreal akan memberikan kemas kini terakhir pada hari Isnin, dengan Scaloni berkata tidak ada gunanya membawanya ke Argentina untuk penilaian.

"Dia sedang dirawat di sana, dengan orang terlatih. Saya mahu dia datang dengan sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:44 AM