‘PENYOKONG’ England cetus kesangsian. FOTO Agensi
‘PENYOKONG’ England cetus kesangsian. FOTO Agensi
Agensi

Doha: Tuan rumah, Qatar didakwa mengupah 'pelakon berbayar' untuk menyamar sebagai penyokong selepas beberapa pasukan mula tiba di negara itu menjelang Piala Dunia yang bermula Ahad ini.

Penyokong 'palsu' England di Piala Dunia menimbulkan kesangsian dengan dakwaan Qatar memberikan bayaran ke atas sokongan ditunjukkan mereka.

Satu klip video menunjukkan 'penyokong' berarak di jalan di Doha sambil memegang sepanduk muncul di TikTok dan Twitter sejak beberapa hari lalu.

Timbul dakwaan negara tuan rumah membayar pekerja imigran menyamar sebagai penyokong malah tahap sokongan mereka menjadi persoalan.

Penyokong terbabit mengibarkan dan ada yang membalut badan mereka dengan bendera Argentina, Brazil, England dan Portugal di sekitar bandar minggu ini.

Malah ada kumpulan yang menunggu di luar hotel penginapan England menunggu kehadiran skuad Three Lions sambil menyanyikan "Football's Coming Home" namun dengan perkataan dan nada yang salah. Mereka turut berteriak "Southgate is our super coach".

Penyokong 'asli' di media sosial jelas tidak senang dengan gelagat penyokong palsu berbayar ini. Seorang daripada mereka di Twitter berkata: "Ini mengingatkan saya kepada Korea Utara yang membayar penyokong China untuk menyokong mereka di Piala Dunia 2010."

Seorang lagi berkata: "Betapa buruknya. Piala Dunia belum bermula, tak boleh memuji mereka. Lebih baik tonton Liga Perdana."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 9:55 AM