AKSI antara Napoli dan Lecce awal pagi tadi. FOTO Reuters
AKSI antara Napoli dan Lecce awal pagi tadi. FOTO Reuters
Reuters

Lecce: Napoli semakin hampir menamatkan penantian 33 tahun muncul juara Serie A selepas menumpaskan Lecce 2-1 dan perlu berterima kasih ke atas gol sendiri yang pelik pertahanan lawan, Antonino Gallo.

Pasukan bimbingan Luciano Spalletti mengukuhkan kedudukan teratas liga dengan kelebihan 19 mata daripada pasukan tangga kedua, Lazio.

Napoli, yang kalah mengejut 0-4 kepada AC Milan Isnin lalu, semakin dekat untuk memenangi gelaran Serie A buat kali pertama sejak 1990 dengan baki sembilan perlawanan lagi.

"Stadio Via del Mare adalah tempat yang sukar untuk bermain dan Lecce mempunyai keputusan yang baik menentang semua kelab besar, kerana mereka teratur dan memberikan yang terbaik dalam situasi penting," kata Spalletti kepada DAZN.

Napoli membuka jaringan pada minit ke-18 apabila Giovanni Di Lorenzo yang tidak dikawal menanduk masuk hantaran lintang Kim Min-jae.

Lecce menyamakan kedudukan selepas tujuh minit separuh masa kedua bermula apabila Federico Di Francesco menyambar bola lantunan di dalam petak penalti.

Momentum Lecce hilang pada minit ke-64 apabila Gallo mendada bola kembali kepada penjaga gol, Wladimiro Falcone, namun ia tergelincir masuk ke dalam gawang.

Napoli tanpa penjaring terbanyak Serie A, Victor Osimhen, yang masih belum pulih daripada kecederaan paha, dan Spalletti mengakui pasukan itu terasa ketiadaan pemain Nigeria itu.

"Ia menjadi sukar tanpa dia, kerana dia mempunyai cara berlari ke ruang kosong, kelebihan fizikal, dia boleh menarik semua orang kepadanya dan oleh itu mencipta ruang untuk rakan sepasukannya," kata jurulatih Napoli itu tanpa memberikan jangka masa bila Osimhen mungkin kembali.

"Osimhen mahu bermain setiap perlawanan, tetapi ada situasi yang perlu dinilai dengan teliti. Dia benar-benar menghadapi risiko mencederakan dirinya dengan teruk dan diketepikan sepanjang musim ini, jadi doktor betul memintanya berehat seketika."

Perlawanan itu menamatkan satu lagi minggu yang menyedihkan buat Lecce, yang kini mengalami enam kekalahan berturut-turut dalam Serie A dan berada di tangga ke-16, lapan mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 11:25 AM