ELLIOTT meraikan jaringan yang disempurnakannya ketika berdepan Ajax. FOTO Reuters
ELLIOTT meraikan jaringan yang disempurnakannya ketika berdepan Ajax. FOTO Reuters
AFP

Amsterdam: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap kemenangan 3-0 mengatasi Ajax untuk mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara boleh meningkatkan prestasi mereka selepas persembahan longgar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL)

Skuad Reds menang lebih banyak aksi Liga Juara-Juara musim ini berbanding 11 aksi EPL selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Amsterdam.

Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Harvey Elliott berjaya menemui sasaran tatkala kelab itu mara ke peringkat kalah mati buat kali keenam berturut-turut.

"Kami mara ke pusingan kalah mati dan tidak sesekali memandang rendah perkara itu.

"Ia sangat membantu kelab, sudah tentu ia meningkatkan pasukan. Malam ini kami rasa hebat dan kami ada beberapa hari untuk bersedia menghadapi Leeds," kata Klopp.

Skuad kendalian Klopp masih ada rintangan besar minggu depan apabila Napoli akan berkunjung ke Anfield dan memerlukan kemenangan jika mahu jadi juara Kumpulan A.

Kekalahan menamatkan peluang Ajax untuk mara ke pusingan berikutnya dan juara Belanda itu perlu menyesali kerana gagal mengambil peluang permulaan pantas dalam aksi berkenaan.

Steven Berghuis sepatutnya dapat membuka jaringan selepas hanya dua minit aksi bermula apabila menyepak bola melepasi palang ketika Alisson Becker sudah tewas.

Perbezaan prestasi Liverpool dalam aksi domestik dan Eropah ditunjukkan menerusi rekod jaringan Salah.

Daripada sembilan gol jaringan penyerang Mesir itu musim ini, enam daripadanya ialah dalam Liga Juara-Juara apabila dia mengatasi Remko Pasveer hasil hantaran Jordan Henderson yang melegakan Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 11:27 AM