GERRARD sugul selepas Villa tewas di  Craven Cottage, London. FOTO Reuters
GERRARD sugul selepas Villa tewas di Craven Cottage, London. FOTO Reuters
Reuters

London: Tempoh perkhidmatan Steven Gerrard sebagai pengurus Aston Villa berakhir apabila dipecat sejurus selepas kelabnya tewas 0-3 di Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Gerrard disingkir susulan prestasi hambar menyaksikan pasukannya menduduki tangga ke-17 selepas 11 perlawanan dan hanya perbezaan gol memisahkan mereka dengan dengan zon penyingkiran.

"Kami berterima kasih kepada Steven di atas kerja keras dan komitmennya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depannya," kata Aston Villa dalam satu kenyataan di laman web kelab.

Gerrard menggantikan Dean Smith pada November selepas mengendalikan Rangers sejak 2018 dan meraih gelaran liga bersama kelab Scotland itu.

Namun beliau gagal mengubah nasib Villa malah prestasi mereka lebih buruk berbanding ketika dikendalikan Smith.

Ketika Smith yang membawa semula Villa ke saingan liga tertinggi pada 2019 dipecat, mereka berada di tangga ke-15 dengan 10 mata daripada 11 perlawanan.

Tetapi di bawah Gerrard musim ini, mereka sekadar meraih sembilan mata daripada 11 perlawanan dan hanya menang 12 daripada 38 aksi EPL sepanjang mengendalikan kelab.

Pemecatan Gerrard bukanlah mengejutkan namun bagi pengurus Leicester City, Brendan Rodgers yang mengendalikan Liverpool ketika pemain itu beraksi, berita itu agak mengecewakannya.

"Tampak seperti setiap hari pengurus hilang tugas atau jawatan mereka dalam bahaya. Saya fikir kestabilan dan kesabaran seolah-olah sudah hilang," kata Rodgers. "Saya percaya dengan masa dan kesabaran, dia boleh membawa kelab ke arah dikehendaki."

Gerrard pengurus keempat EPL dipecat musim ini selepas Scott Parker (Bournemouth), Thomas Tuchel (Chelsea) dan Bruno Lage (Wolves).

Kapten Villa, John McGinn berkata, pemain perlu bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

"Memalukan apabila menjadi sebahagian daripada puncanya. Kami mengecewakan penyokong yang datang ke sini. Begitu juga pengurus kami dan ia malam buruk bagi kami."

"Ia bukan mengenai siapa mengendalikan kelab, pemain yang perlu melihat diri mereka di cermin."

Bekas pengurus Southampton, Tottenham Hotspur dan Paris St Germain, Mauricio Pochettino menjadi calon pilihan awal untuk mengendalikan Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:37 AM