GERRARD akui banyak belajar dengan Rodgers dari segi menguruskan pasukan. FOTO AFP
GERRARD akui banyak belajar dengan Rodgers dari segi menguruskan pasukan. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard memberitahu bahawa beliau menghormati pengendali Leicester, Brendan Rodgers tatkala bersedia untuk berdepan dengan bekas jurulatihnya itu.

Gerrard beraksi di bawah Rodgers di Anfield dari 2012 hingga 2015, dengan hampir untuk memenangi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama-sama pada 2014.

Liverpool mendahului tangga teratas dengan kelebihan lima mata tatkala berbaki tiga perlawanan, namun mereka gagal mempertahankan kedudukan itu yang menyaksikan insiden Gerrard tergelincir ketika tumpas kepada Chelsea.

Kedua-dua mereka pernah bertembung sebelum ini ketika mengendalikan seteru tradisi Scotland.

Rodgers berjaya meraih treble berturut-turut ketika dua musim mengendalikan Celtic, di mana beliau berdepan Gerrard yang memimpin Rangers sebanyak dua kali.

Kedua-dua mereka merekodkan kemenangan 1-0 ketika musim 2018/19, penampilan sulung Gerrard sebagai pengurus, sebelum Rodgers berpindah ke Leicester.

Musim lalu, Gerrard berjaya membantu Rangers meraih gelaran liga Scotland buat kali pertama selepas sedekad, sekali gus menghalang Celtic daripada mencatat sejarah muncul juara 10 kali berturut-turut.

Bekas ketua pasukan Liverpool berusia 41 tahun itu memulakan kariernya sebagai pengurus Villa dengan dua kemenangan dan sekali kalah, namun beliau mendedahkan banyak yang dipelajari daripada Rodgers.

"Brendan adalan jurulatih yang hebat. Beliau hadir ke Liverpool ketika kami memerlukan seseorang sepertinya, jurulatih yang mempunyai sentuhan bola sepak moden selain mengamalkan corak permainan menarik.

"Saya rasa perkara paling mustahak ialah beliau berjaya mengendalikan dengan baik ketika di atas padang latihan. Anda akan dapat lihat dengan jelas beliau kaya dengan pengalaman dan seorang pengurus yang baik dari segi hubungan peribadi," kata Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:21 AM