STEVEN Gerrard (kanan) berjaya memperbaiki kedudukan Villa. FOTO Agensi
STEVEN Gerrard (kanan) berjaya memperbaiki kedudukan Villa. FOTO Agensi
AFP

London: Steven Gerrard berkata barisan pemainnya berhak menerima pujian selepas Aston Villa berjaya memperbaiki kedudukan di Liga Perdana sejak dia mengambil alih kelab itu.

Villa tewas lima perlawanan berturut-turut dan hanya mempunyai kelebihan dua gol dari zon penyingkiran ketika Gerrard meninggalkan juara Scotland, Rangers untuk menggantikan Dean Smith yang dipecat November lalu.

Sejak Gerrard tiba di Villa Park, kelab itu berjaya melonjak dari tangga ke-16 ke kedudukan ke-10 dan sedang memburu kemenangan kali kelima dalam tujuh perlawanan apabila mereka melayan kunjungan Chelsea awal pagi Isnin.

"Saya mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang kami dapat memberikan impak," kata Gerrard yang membawa beberapa barisan kejurulatihan bersamanya dari Rangers.

"Barisan pemain berhak mendapat pujian kerana mempamerkan aksi cemerlang setakat ini."

Bekas kapten Liverpool dan England itu menambah: "Sebaik sahaja saya mengambil alih Villa, perkara pertama saya lakukan adalah melihat aksi seterusnya.

"Banyak perlawanan yang perlu dilalui dan saya rasa pemain sudah beraksi dengan baik selepas melihat mata yang berjaya kami kutip."

Di bawah bimbingan Gerrard, Villa berjaya menewaskan Brighton, Crystal Palace, Leicester dan Norwich dan hanya tewas tipis kepada pencabar kejuaraan, Manchester City serta Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 8:00 AM