EMERY dilantik sebagai pengurus baharu Villa. FOTO AP
EMERY dilantik sebagai pengurus baharu Villa. FOTO AP
Reuters

London: Aston Villa menamakan Unai Emery sebagai pengurus baharu menggantikan Steven Gerrard, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini, sekali gus menyaksikan pengendali dari Sepanyol itu kembali ke England buat kali kedua.

Villa memecat Gerrard, Khamis lalu selepas kelab Midlands itu hanya mengumpul sembilan mata daripada 11 perlawanan musim ini.

Aaron Danks dilantik sebagai pengendali sementara dan Villa menewaskan Brentford 4-0 pada aksi hujung minggu lalu yang juga tugasan pertamanya.

"Aston Villa dengan gembira mengumumkan pelantikan Unai Emery sebagai ketua jurulatih baru kelab," kata Villa dalam satu kenyataan.

"Unai akan membimbing pasukan mulai 1 November selepas semua urusan berkaitan permit kerjanya selesai."

Media Sepanyol melaporkan Villa membayar klausa pelepasan kepada kelab Sepanyol, Villarreal untuk mendapatkan tandatangan Emery.

Tugasan terdahulu Emery di England adalah menggantikan jurulatih berpengalaman Arsenal, Arsene Wenger pada 2018, tetapi dia hanya bertahan selama 18 bulan bersama kelab di Utara London itu sebelum dipecat.

Tetapi, walaupun gagal menyerlah di Arsenal, pengendali berusia 50 tahun itu memiliki rekod baik membawa kelab Sepanyol ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila membimbing Valencia menduduki tempat ketiga La Liga sebanyak tiga kali.

Namun, kemasyhuran dan rekod terhebatnya adalah dalam kempen Liga Europa apabila muncul juara tiga kali bersama Sevilla dan sekali bersama Villarreal, sekali gus memegang rekod sebagai pengurus paling banyak menjulang trofi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 9:13 AM