RAJESH Kumar ditembak kerana tidak memakai pelitup muka ketika memasuki bank. FOTO Agensi
RAJESH Kumar ditembak kerana tidak memakai pelitup muka ketika memasuki bank. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki nyaris maut selepas ditembak pengawal keselamatan sebuah bank di Bareilly, Uttar Pradesh, kerana mangsa tidak memakai pelitup muka.

Rajesh Kumar, 28, kini dilaporkan stabil selepas dikejarkan ke hospital.

Ketika kejadian, pengawal keselamatan itu tidak sengaja melepaskan tembakan kepada mangsa yang masuk ke bank, tanpa memakai pelitup muka.

Ketua Polis Bareilly, Rohit Singh Sajwan berkata, pihaknya menahan pengawal keselamatan itu yang dikenali sebagai Keshav.

"Berdasarkan siasatan, polis menyiasat kes berkenaan sebagai cubaan bunuh," kata Sajwan.

Mangsa terkena tembakan di bahagian kiri pahanya, namun dia dilaporkan stabil.

Isteri mangsa, Priyanka Rathore berkata, suaminya bertengkar dengan pengawal keselamatan bank berkenaan yang tidak membenarkan mangsa masuk ke premis itu.

"Rajesh tidak memakai pelitup muka menyebabkan pengawal keselamatan tidak membenarkan dia masuk.

"Suami saya kemudian keluar dan memakai pelitup muka, namun masih juga tidak dibenarkan masuk.

"Pengawal keselamatan itu kemudian menolak suami saya dan menembaknya," katanya.

Rakaman kejadian itu tular di media sosial di negara berkenaan.

Sementara itu, pengurusan bank berkenaan memberi jaminan untuk menanggung semua kos perubatan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:31 AM