PEMAIN Barca perlu atasi Eibar sebelum aksi UCL.
PEMAIN Barca perlu atasi Eibar sebelum aksi UCL.
AFP

MADRID: Barcelona dan Lionel Messi perlu mempertahankan rekod tanpa kalah dalam kempen La Liga ketika berkunjung ke Eibar terlebih dulu, esok sebelum mengalih fokus ke aksi Liga Juara-Juara melawan Chelsea di London.

Dalam suasana kurang glamor di Ipurua dengan gelanggang yang hanya memiliki 7,000 tempat duduk, Eibar tidak boleh dianggap lawan mudah oleh Barcelona yang sebelum ini diikat Espanyol dan Getafe dalam dua perlawanan terakhir La Liga mereka.

Keputusan itu membenarkan Atletico Madrid merapatkan kedudukan dengan skuad kendalian Ernesto Valverde di puncak liga kepada tujuh mata dengan kedua-dua kelab dijadual bertemu di Nou Camp, awal bulan depan.

Kelebihan Barca begitupun agak kukuh selain tiada masalah kecederaan yang membimbangkan tetapi kepulangan aksi dalam saingan Liga Juara-Juara boleh memberi igauan ngeri.

“Kami perlu mengharunginya dengan berhati-hati kerana keputusan yang buruk bermakna kamu secara tiba-tiba mendapat tahun yang agak baik kepada yang buruk,” kata pertahanan Barca, Gerard Pique.

Bagi Eibar, mereka kini menjadi antara pasukan yang mencabar tempat ke saingan Eropah musim depan dan menghuni tangga ketujuh liga.

Satu-satunya kekalahan yang diraih Eibar - tipis 1-0 - adalah ketika menentang Atletico sejak permulaan Disember lalu.

“Kami sudah bermain dengan baik sejak dua bulan lalu dan mendapat keputusan yang baik, tetapi kami tahu apa yang berada di depan kami pada Sabtu,” kata jurulatih Eibar, Jose Luis Mendilibar yang juga rakan baik Valverde ketika mereka masih bermain.

Penyandang juara Real Madrid, yang masih segar dengan kemenangan ke atas Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara akan membuat kunjungan ke Real Betis pada Isnin.

Begitupun, skuad kendalian Zinedine Zidane itu menghuni tangga keempat liga dan ketinggalan 17 mata di belakang Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:26 PM