DOLLAH Salleh. FOTO Asrol Awang
DOLLAH Salleh. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Tewas 1-2 kepada Sabah FC kelmarin, jelas memberi tekanan buat Sri Pahang FC terutama menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan terbaik.

Ini kerana selepas mengharungi 21 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelapan liga dan perlu menang pada perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan FC (FC) jika mahu memperbaiki kedudukan.

Kemenangan itu penting untuk mengelak PJ City FC yang berada di kedudukan kesembilan memintas Sri Pahang.

Jika berlaku, Sri Pahang akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga juara Liga Super musim ini pada pusingan awal kempen Piala Malaysia.

Ia diakui pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang mahu memastikan skuadnya mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir liga musim ini.

"PJ City berada di belakang dan boleh memintas jika mereka menang. Segalanya boleh berlaku dan kita perlu lebih bersedia.

"Mereka (PJ City) ada peluang dan kita tidak boleh tewas kepada NSFC untuk mengelak menamatkan saingan liga di kedudukan kesembilan," katanya.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, Sri Pahang mengutip 25 mata manakala PJ City pula di kedudukan kesembilan dengan 23 mata.

Justeru, Dollah mahu anak buahnya tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang dipersembahkan ketika tewas kepada Sabah.

"Kita tidak boleh kehilangan mata dan perlu kekal fokus untuk menyekat lawan daripada memperoleh mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 1:38 PM