AKSI pemain Melaka United ketika bertemu Negeri Sembilan, Isnin lalu. FOTO Azrul Edham
AKSI pemain Melaka United ketika bertemu Negeri Sembilan, Isnin lalu. FOTO Azrul Edham
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak memberi lesen kepada Melaka United dan Sarawak United susulan isu tunggakan gaji bakal memberi isyarat dan amaran buat pasukan lain.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), tindakan itu dianggap tepat dalam menghormati dan menjaga kebajikan pemain.

"Sebagai sebuah organisasi yang mementingkan pembelaan terhadap kebajikan pemain bola sepak profesional di Malaysia, tindakan yang diambil oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dapat dilihat sebagai suatu penanda aras untuk mengelakkan risiko masalah kebajikan yang dihadapi oleh para pemain untuk terus berulang pada musim yang akan datang.

"Perkara ini sedikit sebanyak dapat mengetengahkan kepentingan suara pemain dalam menentukan kelangsungan sesebuah kelab bagi menjamin persekitaran yang bebas daripada sebarang bentuk masalah kebajikan terutamanya mengenai pembayaran gaji.

"Di pihak PFAM, kami sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalinkan apa apa bentuk kerjasama daripada pihak FAM dan MFL bagi membantu serta membela nasib para pemain yang terkesan secara langsung daripada situasi ini," kata kenyataan itu.

Semalam, Sarawak dan Melaka gagal meraih lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FIB.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak muncul pasukan paling bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan.

Melaka pula hanya satu dengan masalah utama berkaitan kegagalan melunaskan tunggakan gaji sehingga Ogos 2022.

Bagaimanapun, pasukan terbabit diberi peluang untuk membuat rayuan bermula hari ini sehingga 19 Oktober ini dengan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang yang berbaki tujuh hari lagi.

"Perkara ini jelas membuktikan sekiranya sesebuah kelab mempunyai masalah tunggakan gaji terhadap pemain atau mempunyai keputusan di peringkat Fifa yang perlu dipatuhi akan menjadi punca kegagalan untuk mendapatkan lesen tersebut," kata PFAM itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:09 AM