RONALDO mendapat perhatian kelab MLS.
RONALDO mendapat perhatian kelab MLS.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dijangka meninggalkan Manchester United pada Januari ini dengan kelab MLS, Inter Miami sedia menawarkan kontrak lumayan kepada penyerang veteran Portugal itu.

Pemain berusia 37 tahun itu bergelut mencari minit permainan di bawah kendalian Erik ten Hag dan kini dibayangi kecemerlangan Antony dan Marcus Rashford dalam skuad United.

Namun tawaran mega daripada skuad MLS itu mungkin mampu menariknya keluar dari Old Trafford.

Menurut Daily Star, Inter Miami sedia menawarkan Ronaldo kontrak £30 juta (RM157.70 juta) setahun. Kelab dimiliki David Beckham berharap dapat mencari pengganti Gonzalo Higuain yang mengumumkan persaraan baru-baru ini.

Laporan media Inggeris mendakwa Ten Hag sedia membenarkan Ronaldo berpindah pada Januari tetapi United masih boleh menghalang perpindahan itu dengan meminta yuran perpindahan.

Inter Miami pula merancang mendapatkan Ronaldo dengan perjanjian percuma dan kelab MLS itu mungkin menangguhkan hasrat mereka sehingga musim panas akan datang jika United enggan melepaskan pemain antarabangsa Portugal itu.

Pada musim panas lalu, ejen Jorge Mendes menegaskan Ronaldo mahu meninggalkan United jika mereka gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Perpindahan ke MLS mungkin mengakhiri peluang CR7 beraksi di UCL buat selama-lamanya tetapi ia membuka jalan untuk meninggalkan Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 9:57 PM