PEMAIN Selangor FC 2, Muhammad Iqmal Ramlan (kanan) mengasak pemain JDT ll Moussa Sidibe   di Stadium UiTM Shah Alam. FOTO Bernama
PEMAIN Selangor FC 2, Muhammad Iqmal Ramlan (kanan) mengasak pemain JDT ll Moussa Sidibe di Stadium UiTM Shah Alam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Shah Alam: Johor Darul Ta'zim (JDT) II membuktikan mereka boleh mengikut jejak langkah 'pasukan abang' apabila berjaya menjuarai Liga Perdana buat kali pertama pada musim ini.

Detik bersejarah pasukan yang dibimbing Mariano Echeverria diserikan lagi dengan menutup saingan Liga Perdana menerusi kemenangan 1-0 ke atas Selangor 2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM sebentar tadi.

Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan lebih menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan. Malah, penyerang JDT II Hazwan Bakri hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-12 namun sepakannya sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada tuan rumah.

Skuad kendalian Rusdi Suparman yang dilihat lebih banyak bertahan cuba mengatur serangan namun penyudah tumpul sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berkesudahan tanpa sebarang jaringan.

Memasuki babak kedua, JDT II yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kejuaraan liga mengubah taktikal perlawanan dengan melakukan serangan di sebelah kiri.

JDT II tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Daryl Sham George menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit 49 hasil daripada sepakan sudut untuk kedudukan 1-0.

Selangor 2 yang semakin terdesak untuk mencari gol penyamaan melakukan sekurang-kurangnya tiga pertukaran pemain untuk memperkuatkan lagi jentera serangan.

Peluang terbaik tuan rumah untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit 85 menerusi Haiqal Haqeemi Hairi namun sepakannya cukup lemah sekali gus gagal menewaskan penjaga gol JDT II Izham Tarmizi.

Tiada sebarang jaringan dicipta sekali gus keputusan 1-0 kekal memihak kepada JDT II hingga perlawanan tamat.

JDT II mengakhiri saingan Liga Perdana musim ini sebagai juara apabila merekodkan 13 kemenangan, tiga kali tewas dan dua kali seri untuk mengutip 42 mata.

The Red Warriors (TRW) pula terpaksa berpuas hati sebagai naib juara apabila mengakhiri saingan menerusi 39 mata. Trofi kejuaraan Liga Perdana pula disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBSNJ) Datuk Ismail Karim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:13 PM