PENYERANG import Sri Pahang FC, Kpah Sherman (tengah) diapit dua pemain Kuching City FC pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
PENYERANG import Sri Pahang FC, Kpah Sherman (tengah) diapit dua pemain Kuching City FC pada perlawanan malam tadi. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Sri Pahang FC terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super apabila membenam Kuching FC 1-0 pada perlawanan di Stadium Negeri Sarawak, sebentar tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi mencari gol pembukaan.

Skuad Tok Gajah yang dilihat lebih mendominasi perlawanan gagal menterjemahkan setiap serangan kepada gol, sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain bagi memastikan jentera serangan masing-masing lebih 'hidup'.

Tonggak tengah skuad Tok Gajah, Azam Azih membuktikan dia masih berbisa apabila rembatan deras dari luar kotak penalti menerjah gol untuk mendahului perlawanan 1-0 pada minit ke-57.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan skuad kendalian Fandi Ahmad boleh menarik nafas lega apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan.

Situasi itu menyaksikan hanya Sri Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) belum lagi tewas dalam saingan Liga Super 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:41 AM