CHENG Hoe kini menjadi jurulatih pasukan Selangor. FOTO Ihsan Selangor FC
CHENG Hoe kini menjadi jurulatih pasukan Selangor. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC menamatkan teka teki apabila mengumumkan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu pasukan itu.

Pengumuman itu dibuat di laman Facebook Selangor FC, sekali gus mengesahkan laporan Arena Metro pada Rabu lalu yang mengaitkan bekas jurulatih negara bakal dilantik bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner yang diturunkan pangkat bulan lalu ekoran prestasi merudum pasukan.

Berdasarkan pencapaian dan pengalamannya, Selangor FC percaya bahawa Cheng Hoe adalah calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.

"Bagi saya, Selangor FC merupakan satu Kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.

"Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC.

"Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan," kata Cheng Hoe yang gembira menyertai skuad Red Giants itu.

Untuk rekod, jurulatih berusia 54 tahun ini pernah mengendali pasukan kebangsaan dari tahun 2018 sehingga 2021.

Di bawah bimbingannya, Malaysia berjaya menjadi naib juara Piala AFF 2018 di samping mempamerkan antara persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 8:48 PM