CHENG Hoe (dua dari kanan) berkata, barisan pemain Melaka United sudah pastinya akan meletakkan semua masalah di luar padang. FOTO AIZUDDIN SAAD
CHENG Hoe (dua dari kanan) berkata, barisan pemain Melaka United sudah pastinya akan meletakkan semua masalah di luar padang. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hasil air tangan Pengendali baharu Selangor FC Tan Cheng Hoe pada perlawanan pertamanya menentang Melaka United esok sudah pastinya dinantikan penyokong skuad Gergasi Merah dengan mereka mengharapkan ada perubahan berlaku dalam usaha mencapai keputusan positif pada baki saingan Liga Super musim ini.

Walaupun, ada yang menganggap bertemu Melaka United adalah perkara mudah buat Cheng Hoe mencapai keputusan positif memandangkan pasukan terbabit berada dalam situasi terumbang-ambing namun, bekas jurulatih kebangsaan itu menjangkakan saingan sengit pasti berlaku di Stadium Hang Jebat esok.

Berdasarkan pengalamannya, Cheng Hoe berkata, barisan pemain Melaka United sudah pastinya akan meletakkan semua masalah di luar padang dengan mempamerkan aksi terbaik mereka bagi meraih tiga mata.

"Untuk mana-mana jurulatih baharu sudah pastinya perlawanan pertama mereka adalah sangat mencabar sekali gus kita tidak boleh memandang rendah pada lawan.

"Kita mengetahui Melaka United berhadapan masalah ketika ini namun mana-mana pemain yang turun ke padang sudah pastinya memberikan komitmen tinggi dan letak perkara lain di tepi padang," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini skuad Gergasi Merah berada di tangga ke lapan liga dengan mengutip 20 mata manakala Melaka United pula di tangga ke sembilan hanya dibezakan dua mata saja.

Cheng Hoe adalah jurulatih ketiga Selangor pada musim ini selepas Michael Feichtenbeiner dan Nidzam Jamil yang dilantik selaku jurulatih sementara sebelum ini.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, dia akan melihat keupayaan keseluruhan barisan pemainnya dalam usaha membariskan yang terbaik untuk turun beraksi menentang Melaka United.

"Kita mahukan Selangor FC terus memperoleh keputusan positif pada musim ini supaya dapat perbaiki kedudukan liga sekali gus mendapat momentum mengharungi saingan Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:45 PM