SELANGOR FC akan kembali lebih bertenaga di bawah kendalian jurulatih baharu.
SELANGOR FC akan kembali lebih bertenaga di bawah kendalian jurulatih baharu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya disahkan sudah mencapai persetujuan menyertai Selangor FC sekaligus menandakan kebangkitan yang bakal dijelmakan 'King Of Malaya' itu.

Menurut sumber boleh dipercayai, bekas jurulatih kebangsaan itu adalah pilihan terbaik bagi mengembalikan semula kegemilangan pasukan yang sarat dengan sejarah gemilang bola sepak tanahair itu.

Katanya, satu pengumuman rasmi akan dibuat minggu depan dan kehadiran jurulatih berkenaan pastinya ditunggu penyokong setia skuad Red Giants.

Ujarnya lagi, pengendali baharu itu akan terus mengendalikan pasukan dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula Oktober ini.

"Beberapa calon jurulatih sudah dikenalpasti dan dibuat penilaian bagi jawatan ketua jurulatih dan persetujuan dicapai untuk mendapatkan khidmat jurulatih berkenaan.

"Tempoh berapa lama perjanjian dan sama ada muka baharu bakal dibawa masuk akan dimaklumkan dalam pengumuman rasmi, Isnin nanti.

"Bukan itu sasaran (dalam Piala Malaysia) yang diletak ke atas dirinya, perlu bagi ruang dan peluang dia membuktikannya," jelas sumber terbabit.

Sebelum ini beberapa nama dikaitkan bagi mengisi kekosongan Michael Feichtenbeiner yang ditukar peranannya kepada skuad pembangunan kelab itu.

Ia susulan aksi hambar diperagakan Selangor dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini, lantas penolong jurulatih iaitu Nidzam Jamil dilantik sebagai jurulatih sementara skuad itu.

Untuk rekod, bekas jurulatih kebangsaan yang baharu diikat Selangor itu memiliki reputasi hebat dengan falsafah permainan bola sepak yang menarik.

Beliau juga pernah membimbing pasukan tempatan dalam saingan Liga Malaysia dengan menjuarai beberapa trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:07 PM