ARIF Aiman (tengah) dikawal rapi pemain TFC. FOTO Asyraf Hamzah
ARIF Aiman (tengah) dikawal rapi pemain TFC. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Meraih gelaran pemain terbaik perlawanan dan dilihat antara 'key player' buat Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pentas final Piala FA malam tadi belum cukup untuk bintang sensasi Harimau Selatan Arif Aiman Hanapi dilabel sebagai pemain terhebat di Malaysia.

Arif Aiman antara watak penting yang membantu JDT menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Malah, aksi Arif Aiman yang mencuri tumpuan menyebabkan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan sekali gus membantu skuad Harimau Selatan menjulang trofi Piala FA buat kali pertama sejak 2016.

Namun, Arif Aiman lebih berminat untuk menjadikan pujian yang diterima sebagai pemangkin semangat dalam memajukan kariernya selain membantu JDT untuk tampil lebih cemerlang di pentas tempatan dan antarabangsa.

"Alhamdulillah, pertama kali saya dapat menang Piala FA sejak mewakili JDT tetapi saya letak dalam diri untuk tidak pernah puas hati dalam setiap perlawanan.

"Ini kerana pada masa akan datang akan ada lebih banyak lagi aksi untuk saya buktikan bahawa saya boleh berikan yang lebih baik.

"Saya hanya akan berpuas hati bila satu hari nanti saya dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa dan memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa bersama JDT.

"Jika ditanya sama ada saya adalah pemain terbaik Malaysia ketika ini, saya tidak bersetuju kerana saya berpendapat masih ramai lagi pemain-pemain yang lebih bagus di luar sana dan saya perlu terus bekerja keras," katanya.

Arif Aiman yang baru berusia 20 tahun mencipta sensasi tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) tahun lalu.

Malah, tonggak skuad kebangsaan Harimau Malaya itu dilihat hampir pasti mempertahankan kejuaraan peribadinya hasil prestasi konsisten sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 1:11 PM