MAGUIRE hanya lapan kali diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester United musim ini. FOTO AFP
MAGUIRE hanya lapan kali diturunkan dalam kesebelasan utama Manchester United musim ini. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Erik ten Hag mengakui Harry Maguire tidak gembira dengan peranan kecilnya di Manchester United dan pemain pertahanan England itu perlu membuat keputusan untuk masa depannya.

Walaupun masih bergelar kapten United secara rasmi, Maguire hanya memulakan lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di bawah kendalian Ten Hag.

Maguire dijangka akan meninggalkan Old Trafford dengan United bersedia menerima tawaran untuk pemain 30 tahun itu, yang memecahkan rekod perpindahan dunia bagi pemain pertahanan ketika berpindah dari Leicester City pada harga 80 juta pound (RM455 juta), empat tahun lalu.

"Saya gembira dia di sini dan apabila diperlukan, dia menyempurnakan tugasnya. Tetapi dia perlu membuat keputusan.

"Tidak ada pemain yang akan gembira dengan situasi ini. Dia juga begitu. Dia sentiasa berlatih pada tahap terbaik dengan 100 peratus diberikan. Dia menanganinya dengan baik dan jawatan kapten penting untuk skuad.

"Tetapi dia perlu bersaing dengan Raphael Varane yang cukup cemerlang," kata Ten Hag mengenai Maguire.

Ten Hag turut menjangkakan penjaga gol, David de Gea akan meneruskan karier di Old Trafford dengan menandatangani kontrak baharu, namun memberi amaran yang dia tidak dijamin kedudukan nombor satu.

United bakal menandatangani penjaga gol baharu sebagai saingan untuk De Gea dan Ten Hag berkata: "Saya tidak akan kata dia sentiasa menjadi nombor satu kerana dalam kelab seperti Man United, semua posisi perlu ada persaingan.

"Anda tidak boleh melakukannya dengan hanya 11 pemain. Ia mustahil. Anda perlu posisi berganda. Ia bukan apa yang saya mahukan, ia apa yang bola sepak tahap tinggi tuntut ketika ini.

"Jika anda lihat pasukan besar, anda perlu bermain dari belakang dan menggunakan penjaga gol sebagai pemain tambahan, jika tidak mudah bagi lawan untuk memberi tekanan.

"Dia perlu meningkatkan permainannya. Dalam beberapa perlawanan, dia menunjukkan peningkatan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 9:30 AM