ANCELOTTI ketika sidang akhbar di Stadium  Alfredo di Stefano, Madrid.
ANCELOTTI ketika sidang akhbar di Stadium Alfredo di Stefano, Madrid.
Reuters

Madrid: Real Madrid akan menggilirkan skuad mereka bagi memastikan pemain sentiasa cergas ketika Piala Dunia berbaki kurang 100 hari lagi, kata pengurus Carlo Ancelotti hari ini.

Jurulatih dari Itali itu bimbang dengan keadaan pemain selepas tamat kejohanan di Qatar yang bermula 20 November.

"Menjelang Piala Dunia kami mungkin tidak berdepan banyak masalah kerana pemain mahu menghadapi Piala Dunia dalam keadaan terbaik," menurut Ancelotti ketika sidang akhbar aksi pembukaan LaLiga menentang Almeria di tempat lawan Isnin ini.

"Persoalan utama sekarang ialah bagaimana pemain kembali daripada Piala Dunia menjelang saat paling penting buat kelab mereka.

"Kami perlu menilai keletihan mereka. Inilah perkara yang kami persoalkan hari ini. Ia pengalaman baharu kepada kami semua."

Ancelotti berkata isu itu antara punca dia menggesa kelab tidak melepaskan mana-mana pemain utama yang menjuarai Liga Juara-Juara dan LaLiga pada jendela perpindahan bagi memperkuatkan posisi dan mendapatkan skuad yang mantap keseluruhannya.

"Ideanya ialah kami perlu gilirkan pemain lebih kerap berbanding tahun lalu dan saya boleh melakukannya musim ini kerana kami miliki skuad sangat kuat, lebih lengkap pada setiap peringkat berbanding musim lalu," kata Ancelotti.

"Kami perlu pastikan setiap pemain bermotivasi dan ada Piala Dunia yang bermakna kami perlu mereka dalam keadaan terbaik."

Ancelotti tidak mendedahkan barisan kesebelasannya untuk perlawanan awal pagi Isnin ini namun Real akan beraksi tanpa Rodrygo yang berdepan kecederaan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 7:14 PM