ANCELOTTI mengendalikan sesi latihan Real Madrid.
ANCELOTTI mengendalikan sesi latihan Real Madrid.
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti berkata beliau menghormati keputusan Kylian Mbappe untuk kekal di Paris Saint-Germain tetapi menegaskan skuad Real Madrid kini fokus sepenuhnya final Liga Juara-Juara.

Real Madrid terdesak mahu menandatangani Mbappe apabila kontraknya tamat pada musim panas ini tetapi penyerang itu menolak perpindahan ke Sepanyol dan sebaliknya mengikat kontrak baharu tiga tahun dengan PSG.

Ancelotti ketika ditanya hari ini mengenai tindakan Mbappe itu sama ada boleh menjejaskan semangat pemainnya yang berazam menewaskan Liverpool dan menjulang Piala Eropah ke-14 pada Ahad ini.

"Kami jelas apa yang perlu lebih difikirkan," kata Ancelotti dalam sidang media.

"Kami tak pernah bercakap mengenai pemain kelab lain. Kami tetap hormati sesiapa sahaja, kami hormati keputusan mereka dan hormati juga kelab lain.

"Kami perlu selesaikan tugas kami dan kami jelas fikirkan yang lebih penting iaitu final."

Ancelotti enggan memperkatakan mengenai Mbappe. Ketika ditanya adakah dia secara peribadi kecewa dengan keputusan pemain Perancis itu, beliau berkata: "Saya faham anda menjalankan tugas anda tetapi saya tak pernah bercakap mengenai pemain yang bukan milik Madrid dan saya tak akan lakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:52 PM