MENDOZA memperagakan kecekapan dan ketangkasan di depan gawang. FOTO Ihsan KL City FC
MENDOZA memperagakan kecekapan dan ketangkasan di depan gawang. FOTO Ihsan KL City FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue menghamburkan pujian buat semua rakan sepasukannya terutama penjaga gol, Kevin Mendoza yang disifatkannya seorang pemain luar biasa.

Pujian itu hadir selepas Mendoza memperagakan kecekapan dan ketangkasan di depan gawang yang menyaksikan pemain Filipina itu menyelamatkan berbelas percubaan berbahaya penyerang kelab PFC Sogdiana selain turut menyelamatkan satu sepakan penalti lawan.

Dalam aksi final Piala AFC Antara Zon di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh di Uzbekistan, malam tadi menyaksikan KL City menang menerusi penentuan penalti dengan 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar.

"Bagi saya Mendoza adalah seorang penjaga gol yang fantastic dan kami berlatih bersungguh-sungguh pada sesi latihan untuk menghadapi sepakan penalti dan dia berjaya menghalang satu sepakan lawan," kata Josue yang juga calon tonggak naturalisasi negara itu.

Selain itu, pemain kelahiran Brazil itu juga memuji barisan pertahanan yang bermati-matian mempertahankan kubu daripada serangan.

"Kami bermain baik mengikut arahan diberi. Ini adalah antara perlawanan terbaik saya, begitu juga bahagian pertahanan yang bertahan dengan sebaiknya.

"Sudah tentu mereka beri tekanan kepada kami, tapi akhirnya kami berjaya menghalang mereka di mana kami berjaya menghentikan gerakan penyerang mereka yang cukup bahaya," katanya.

Kejayaan itu membolehkan KL City menempah pertemuan dengan kelab dari Oman, Al Seeb yang menewaskan Al Riffa dari Bahrain menerusi kemenangan 4-0 dalam aksi final Zon Barat, dengan final dijadual berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 3:06 PM