PEMAIN Penang FC, Giovane Gomes Da Silva (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super 2023 antara Penang FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN Penang FC, Giovane Gomes Da Silva (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super 2023 antara Penang FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Selepas tiga kekalahan berturut-turut Penang FC terpaksa berpuas hati apabila mengikat Kuala Lumpur City (KL City) dengan jaringan seri 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kipre Tchetche mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-7 hasil hantaran kapten pasukannya, Paulo Josue yang bijak melarikan bola jauh dari kapten Penang, Rafael Vitor.

Penyerang Zahfri Yahya cuba menggandakan gol City Boys pada minit ke-39 namun jaringannya tidak dikira kerana ofsaid.

Penang nyata tertekan dengan cuba melakukan asakan demi asakan terutamanya melalui penyerang berbisanya, Sonny Saad namun tidak membuahkan hasil.

Tiga minit tambahan menuju tamat separuh masa pertama Giovane Gomes mencetak gol penyamaan hasil gerakan cantik bermula dari Asnan yang mengumpan bola kepada Adib Raop.

Menariknya Adib sempat melepaskan rembatan dari sudu tepi kotak penalti namun ditampan penjaga gawang KL City, Azim Al Amin sebelum terbias ke kaki Gomez yang terus memanfaatkan peluang terhidang.

Bersambung babak kedua perlawanan Kipre mendapat peluang melakukan sepakan percuma pada minit ke-66 namun cekap dinafikan Azfar Arif Sukri.

KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Giancario Gallifuoco dilayang kad merah pada minit ke-74 selepas dilihat mengasari Gomez.

Bek tengah asal Australia itu terlebih dahulu dilihat membentes Gomes yang sedang melarikan bola di belakangnya menyebabkan penyerang import Penang itu jatuh tersungkur di luar kotak penalti.

Bagaimanapun skuad Harimau Kumbang gagal memanfaatkan sepakan percuma apabila rembatan kencang oleh Sonny melepasi jauh gawang gol lawan.

Giliran Penang pula beraksi dengan 10 pemain pada waktu kecemasan apabila Rahmat Makasuf menerima layangan kad kuning kedua pada babak pertama kedua perlawanan.

Namun ia tidak mengubah keputusan perlawanan dengan kedudukan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:22 PM