KAPTEN skuad kebangsaan, Dion Cools (kiri) berebut bola depan pemain Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun lalu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KAPTEN skuad kebangsaan, Dion Cools (kiri) berebut bola depan pemain Taiwan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Jun lalu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amirul Fazli Zulkafli


Petaling Jaya: Bagi memastikan saingan Pestabola Merdeka 2024 lebih berprestij, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula mengatur gerak kerja bagi mendapatkan lawan kuat, sekali gus menjadi medan terbaik buat skuad kendalian Kim Pan-gon meningkatkan prestasi.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, mereka mengenal pasti enam pasukan yang berpotensi untuk menyertai saingan itu yang dijangka pada September ini.

Beliau berkata, bagi memastikan pasukan dijemput itu mempunyai kualiti terbaik, FAM akan mendapatkan pasukan pada ranking lebih tinggi berbanding Malaysia dan pasukan yang berada dalam Balang 2 kelayakan Piala Asia 2027.

"Setakat ini, India tiada (dalam perancangan) dan kita sudah hantar jemputan kepada lima hingga enam pasukan, jadi kita tunggu hujung bulan ini. Pasukan yang dijemput ada atas kita dan sama balang dengan kita.

"Kita hantar jemputan kepada negara Asia sahaja, apa-apa nanti tunggu pengumuman daripada FAM," katanya.

Selain itu, beliau berkata format Pestabola Merdeka 2024 tidak berubah dan akan mengikut format penganjuran edisi lalu dengan venue kejohanan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Format edisi lalu menyaksikan empat pasukan bersaing di separuh akhir dengan pemenang layak ke perlawanan akhir bagi merebut trofi kejohanan.

Untuk rekod, Malaysia menang 4-2 ke atas India pada perlawanan pertama dan mara ke final sebelum akur tewas 0-2 kepada Tajikistan di final, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 5:16 PM