TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa perbelanjaan untuk menyediakan sistem saliran bagi padang bola sepak bukan mahal hingga mencecah jutaan ringgit.

Sebaliknya, kos sistem berkenaan yang cukup penting bagi mengelak air bertakung di atas padang adalah sekitar RM300,000 sahaja.

Malah, Tunku Ismail turut memberi cadangan jika sistem saliran terlalu mahal, boleh menggunakan kaedah lain iaitu menutup padang menggunakan kanvas bagi mengelak air bertakung.

"Cost drainage system (sistem saliran) tak lebih dari RM300,000. Kalau alasan drainage system mahal sangat, boleh cuba method ni. Murah sikit," katanya, menerusi ciapan twitter.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

STADIUM Larkin yang menggunakan kanvas untuk menutup padang. FOTO Twitter Tunku Ismail Sultan Ibrahim
STADIUM Larkin yang menggunakan kanvas untuk menutup padang. FOTO Twitter Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan situasi yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Lebih memburukkan keadaan, petugas stadium menolak air menggunakan penyodok sampah yang mengambil tempoh masa agak lama berbanding jika menggunakan jentera atau mesin menolak air yang lebih pantas dan efektif.

Sebelum ini, Tunku Ismail pernah menegur berkaitan kualiti padang SNBJ sehingga beliau bersedia menaja kos penanaman rumput baharu di venue keramat Harimau Malaya itu.

Beliau mahu menanggung kos pertukaran rumput 'Cow Grass' kepada jenis 'Zeon Zoysia', sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 2:42 PM