CANCELO meraikan jaringannya. FOTO AFP
CANCELO meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Lisbon: Portugal menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk menewaskan Republik Czech 2-0 hari ini sekali gus mempunyai kelebihan dua mata di tangga teratas Kumpulan A2 kempen Liga Negara-Negara.

Joao Cancelo dan Goncalo Guedes masing-masing menjaringkan gol minit ke-33 dan ke-38 di Lisbon untuk Portugal meneruskan permulaan cemerlang mereka.

Kemenangan itu bermakna Portugal kini mempunyai kelebihan dua mata berbanding Sepanyol selepas meraih dua kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan yang sudah diharungi.

"Kami beraksi dengan cemerlang. Lawan cuba menafikan kemenangan kami dan itulah yang mereka lakukan.

"Kami mahukan lebih banyak gol tetapi apapun ia adalah kemenangan yang sangat penting," kata Guedes.

Czech memulakan perlawanan dengan berkongsi mata bersama Portugal tetapi kemudian jatuh di kedudukan ketiga selepas Sepanyol menewaskan Switzerland 1-0 di Geneva.

"Portugal menunjukkan kualiti yang ada pada mereka. Dua peluang yang diperolehi mereka pada separuh masa pertama dimanfaatkan sepenuhnya.

"Saya juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi tersasar. Saya minta maaf tidak dapat membantu pasukan raih keputusan lebih baik," kata penyerang Czech, Vaclav Jurecka.

Republik Czech berkunjung ke Sepanyol pada Isnin ini manakala Portugal berpeluang melebarkan kelebihan di tangga teratas apabila berkunjung ke Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:02 AM