RONALDO ledak dua gol untuk bantu Portugal belasah Switzerland. -FOTO EPA
RONALDO ledak dua gol untuk bantu Portugal belasah Switzerland. -FOTO EPA
AFP

Paris: Cristiano Ronaldo mengetuai barisan Portugal untuk mengatasi Switzerland dalam saingan Liga Negara-Negara dengan Gavi mencipta sejarah muncul penjaring termuda Sepanyol.

Ronaldo menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa pertama namun gol ketiga dibatalkan kerana ofsaid oleh VAR ketika Portugal mencatat keputusan 4-0 di Lisbon.

Penyerang Manchester United itu turut membantu jaringan pembukaan William Carvalho dengan Joao Cancelo melengkapkan kemenangan Portugal untuk meletakkan pasukan itu di puncak Liga A Kumpulan 2 mengatasi Republik Czech dengan perbezaan gol.

Sementara itu di Prague, Jakub Pesek meletakkan tuan rumah di hadapan sebelum Gavi menyamakan kedudukan menerusi sepakan kaki kiri yang lencong untuk membolehkan dia mencatat nama sebagai penjaring pada usia 17 tahun 304 hari sebelum berhenti rehat.

Jan Kuchta membolehkan Czech kembali mengawal perlawanan namun jaringan pertahanan Athletic Bilbao, Inigo Martinez yang menanduk masuk pada minit akhir berjaya mencuri satu mata dengan perlawanan berkesudahan 2-2.

"Ia sesuatu yang hebat untuk dikatakan bahawa kami kecewa kehilangan mata menentang Sepanyol," kata kapten Czech Tomas Soucek.

"Kami menunjukkan semangat dan kerja berpasukan yang hebat. Jika seseorang memberi tahu kami bahawa kami akan mendapat empat mata sebelum dua perlawanan kami akan menerimanya. Kami bermula dengan baik dan menantikan perlawanan seterusnya."

"Kami kurang mendalami permainan itu dan ia menyebabkan perlawanan menjadi sukar," kata jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.

Sementara Martinez mengakui ia bukan perlawanan terbaik Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 8:47 AM