PENYERANG Poland, Robert Lewandowski berlatih bersama rakan sepasukannya di Warsaw, menjelang perlawanan Liga Negara UEFA dengan Wales pada 1 Jun. FOTO EPA.
PENYERANG Poland, Robert Lewandowski berlatih bersama rakan sepasukannya di Warsaw, menjelang perlawanan Liga Negara UEFA dengan Wales pada 1 Jun. FOTO EPA.
AFP

Warsaw: Robert Lewandowski hari ini menyatakan masanya bersama Bayern Munich sudah berakhir, tanpa mendedahkan mengenai perancangannya, walaupun terdapat laporan Barcelona berminat terhadapnya.

"Hari ini, sudah sah cerita saya bersama Bayern sampai ke penghujungnya," kata bintang Poland itu kepada media di Warsaw.

"Saya tidak dapat membayangkan kerjasama seterusnya selepas apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu," katanya.

"Perpindahan adalah penyelesaian terbaik dan saya percaya Bayern tidak akan menghalang saya, walaupun mereka boleh."

Pada ketika kontrak Lewandowski masih berbaki setahun, Barcelona dilaporkan membuat tawaran AS$34.5 juta (RM151 juta) untuk menandatanganinya.

Dalam temu bual bersama stesen penyiaran Poland, Eleven Sports PL, Lewandowski, yang akan berusia 34 tahun pada Ogos ini, membayangkan mengenai bagaimana dia akan menikmati kehidupan di Sepanyol.

"Saya fikir, ia adalah tempat yang baik - bukan hanya pergi untuk bercuti di sana," katanya sambil menyatakan dia memiliki rumah di Mallorca.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Khan dan pengarah sukan kelab itu, Hasan Salihamidzic masing-masing menyatakan kelab itu tidak akan melepaskan Lewandowski sebelum 2023.

Hari ini, Kahn berkata, dia kecewa apabila penyerang itu menyatakan mengenai perkara itu kepada umum.

"Kenapa Robert membuat keputusan ini, saya tidak boleh beritahu anda," kata Kahn kepada Sport1.

"Kenyataan sedemikian kepada umum tidak akan membawa seseorang ke mana-mana.

"Robert dipilih sebagai pemain terbaik dunia (pemain terbaik lelaki FIFA) sebanyak dua kali di kelab ini, saya fikir dia patut tahu apa yang dimilikinya di FC Bayern."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 9:49 AM