LEWANDOWSKI (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
LEWANDOWSKI (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Agensi

London: England tidak boleh hanya fokus mengawasi Robert Lewandowski ketika menentang Poland pada aksi kelayakan Piala Dunia, menurut pengurus Three Lions, Gareth Southgate yang memberi amaran kepada pemainnya.

Lewandowski meledak tiga kali ketika menewaskan Albania dan San Marino minggu lalu untuk keseluruhan 72 gol buat negaranya dalam 124 perlawanan.

Dia meneruskan momentum cemerlang musim ini apabila menjaringkan gol dalam kesemua enam perlawanan untuk kelab dan negaranya, meledak 10 kali sekali gus mengesahkan status penyerang terhebat dunia.

Tonggak Bayern Munich itu tercedera ketika Poland tewas 1-2 di Wembley pada Mac tetapi tetap cergas untuk pertembungan dua pasukan teratas Kumpulan I, Khamis ini.

Walaupun menyedari kualiti dimiliki Lewandowski, Southgate menegaskan Poland tetap mempunyai pemain lain yang perlu diberi tumpuan seperti ditunjukkan skuad Paulo Sousa itu sejak enam bulan lalu.

"Mereka beraksi di Wembley tanpanya dan mereka mampu tampil prestasi yang baik,'' katanya.

"Kami hanya menjaringkan gol lewat untuk menang, jadi sudah tentu tidak berbeza jika kami tak miliki Harry Kane atau Raheem [Sterling], kami mungkin tewas tanpa mereka.

"Untuk persiapan menentang Poland, kami tidak boleh hanya tumpu Lewandowski. Kami hormati kemampuannya dan kami tahu bahaya dicetusnya tetapi mereka juga mempunyai lain yang mampu menjaringkan gol.''

Lewandowski yang berusia 33 tahun melepasi jumlah 300 jaringan untuk Bayern selepas meledak hatrik ketika menentang Hertha Berlin, gol ke-301 dalam hanya 333 penampilan bersama gergasi Jerman itu.

Dia membantu Poland meraih dua kemenangan tetapi kekal lima mata di belakang pendahulu England yang masih belum tercicir mata dan Three Lions mengukuhkan peluang ke Qatar 2022 jika menang di Warsaw minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 7:31 AM