PEMAIN pertahanan RB Leipzig, Angelino (tengah) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Rangers. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan RB Leipzig, Angelino (tengah) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Rangers. FOTO AFP
Reuters

Leipzig: Sepakan voli Angelino pada minit ke-85 membantu RB Leipzig menang 1-0 ke atas Rangers pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa, malam tadi.

Leipzig terlepas beberapa peluang menjaringkan gol termasuk diselamatkan ketangkasan penjaga gol Rangers, Allan McGregor.

Bagaimanapun, penjaga gol itu tertewas menerusi rembatan voli pemain tengah Sepanyol itu dari jarak 18 meter pada minit ke-85 pada ketika Rangers beraksi di separh akhir ketujuh kejohanan Eropah.

"Ini antara perlawanan apabila kami perlu bermula dari bawah, mereka memiliki perancangan permainan jelas, tetapi akhirnya kami mendapat keputusan diimpikan," kata pemain tengah Leipzig, Tyler Adams.

"Kami sedar ini baru separuh daripada aksi dan perlu mengekalkan fokus serta prestasi pada perlawanan timbal balik nanti.

"Kami beberapa kali beraksi di final merebut piala, musim ini, tetapi mara ke final kejohanan Eropah memang sungguh istimewa."

Tidak banyak aksi menarik di depan pintu gol pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan tepat.

Walaupun Leipzig turun tanpa beberapa pemain pertahanan kerana penggantungan perlawanan, Rangers gagal memasuki kotak penalti kelab Jerman itu dan terpaksa menunggu minit ketiga babak kedua untuk melakukan percubaan pertama menerusi rembatan liar Ryan Kent.

Leipzig pantas mengasak dan rembatan padu Christopher Nkunku dihalang McGregor.

Pemain Perancis itu melepaskan peluang keemasan pada minit ke-70 apabila berjaya memperdaya penjaga gol, tetapi percubaannya melambung tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 7:58 AM