CAMAVINGA (kiri). -FOTO AFP
CAMAVINGA (kiri). -FOTO AFP
AFP

Barcelona: Kecederaan yang dialami Eduardo Camavinga ketika Real Madrid menentang Getafe dalam aksi La Liga Sabtu lalu menggusarkan penyandang juara Eropah itu menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

Pemain tengah Perancis berusia 20 tahun itu menjadi watak penting buat Carlo Ancelotti dan kecederaan akan menjadi halangan besar menjelang perlawanan kedua separuh akhir di Etihad pada awal pagi Khamis ini.

Ancelotti cuba meredakan tekanan Madrid pada sidang media selepas perlawanannya, berkata kecederaan lutut Camavinga akan sembuh dengan cepat dan tidak membimbangkan.

Laporan media Sepanyol sejak itu menggambarkan bahawa Camavinga akan cergas selepas keputusan seri pada perlawanan separuh akhir pertama berakhir 1-1 Selasa lalu.

Camavinga memainkan peranan penting ketika Vinicius Junior cemerlang menjaringkan gol dalam perlawanan itu untuk membantu Madrid mendahului pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Camavinga juga dipersalahkan untuk gol penyamaan City, dengan hantarannya dipintas Kevin De Bruyne untuk gol penyamaan.

Bermain di bek kiri pertahanan, ia bukanlah posisi asal pemain itu bermakna Camavinga ada kalanya melakukan kesilapan, tetapi aksinya semakin menyerlah dari satu perlawanan ke satu perlawanan biarpun dia lebih suka ditempatkan di posisi lain.

"Perkara yang paling penting ialah membantu pasukan, dan hari ini saya melakukannya sekali lagi, tetapi tidak, ia masih bukan kedudukan saya," katanya, selepas membantu Madrid menyingkirkan Chelsea di suku akhir Liga Juara-Juara.

Ancelotti pada perlawanan utama akhir-akhir ini cuba menurunkan 11 pemain terbaiknya dengan menurunkan Toni Kroos di bahagian tengah, dan Camavinga digunakan di bek kiri.

Pada aksi separuh akhir pertama Madrid berjaya menyekat penjaring sensasi Manchester City, Erling Haaland namun mereka gagal menyekat kepintaran De Bruyne.

Sepakan kencang pemain Belgium itu di Bernabeu memberikan keputusan seri 1-1 ketika City tetap yakin dengan rekod 100 peratus menang dalam 14 aksi di laman sendiri pada 2023.

Skuad kendalian Pep Guardiola kurang empat perlawanan untuk menjadi pasukan kedua pernah menang trebel membabitkan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA dalam musim yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:30 PM