PEMAIN pertahanan PSG Sergio Ramos meraikan kejayaan mereka merangkul gelaran juara liga yang ke-10. -FOTO AFP
PEMAIN pertahanan PSG Sergio Ramos meraikan kejayaan mereka merangkul gelaran juara liga yang ke-10. -FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain merangkul gelaran juara Ligue 1 yang ke-10 semalam dan kini menyamai pencapaian Saint-Etienne, biarpun mereka sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ke atas Lens yang beraksi dengan 10 pemain.

Lionel Messi meledakkan gol buat PSG pada minit ke-68 namun Lens berjaya menghalang PSG daripada meraikan kejayaan berganda mereka di Parc des Princes apabila Corentin Jean menjaringkan gol dua minit sebelum perlawanan tamat.

PSG kini mempunyai kelebihan 16 mata mengatasi pasukan di tempat kedua Marseille dengan baki empat perlawanan.

"Suasananya memalukan," kata kapten pasukan Marquinhos.

"Bola sepak adalah minat kami, kami bermula ketika usia yang sangat muda. Kami cuba untuk menikmatinya sebanyak mungkin.

"Sungguh memalukan tidak dapat menikmatinya bersama penyokong tapi kami perlu menanganinya."

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino merampas kembali mahkota kejuaraan dari Lille yang mengejutkan pasukan itu musim lalu.

Ia adalah kejayaan kelapan pasukan itu dalam Ligue 1 sepanjang 10 musim terakhir buat pasukan yang dimiliki pemilik dari Qatar.

Bagaimanapun musim ini masih disifatkan sebagai kegagalan untuk PSG selepas tewas dalam kekalahan penuh dramatik kepada Real Madrid ketika aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara selain turut mengalami kekalahan mengejut Piala Perancis kepada Nice.

Tumpuan di Paris sekarang ialah sama ada penyerangnya Kylian Mbappe akan terus kekal bersama PSG atau menyertai Real Madrid musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:04 AM