PEMAIN Chelsea meraikan kemenangan membelasah Southampton 6-0, Sabtu lalu, FOTO Reuters
PEMAIN Chelsea meraikan kemenangan membelasah Southampton 6-0, Sabtu lalu, FOTO Reuters
Reuters

London: Chelsea perlu bermain dengan prestasi luar biasa jika mahu mengatasi defisit menentang Real Madrid pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, kata pengurusnya, Thomas Tuchel, hari ini.

Kelab Sepanyol itu menang 3-1 pada aksi pertama di Stamford Bridge apabila Karim Benzema melakukan hatrik.

Bercakap kepada media menjelang perlawanan kedua di Madrid, awal pagi Rabu, Tuchel berkata, Chelsea yang juga juara bertahan tidak memiliki peluang besar untuk mengubah keputusan.

"Ia nampak sukar, tetapi berbaloi jika terus mencuba yang bermakna kami perlu bermain dengan tahap maksimum dan paling kuat. Ini adalah masanya dan akan menjadi malam yang penting," katanya.

"Memang cabaran besar untuk bermain pada prestasi terbaik sebagai pelawat di Bernabeu, lebih-lebih lagi jika anda perlukan gol.

"Berbaloi jika mencuba dan ini adalah tahap apabila anda perlu bermain dengan prestasi luar biasa dan kami perlu melakukannya."

Tuchel berkata, Chelsea bermasalah untuk bersaing secara fizikal pada aksi pertama dan keputusan Liga Perdana mengehadkan hanya tiga pemain gantian dalam satu perlawanan berbanding lima pemain di La Liga, menjejaskan pasukannya.

"Kami berdepan kekurangan ketara daripada segi fizikal jika dibandingkan dengan Real Madrid yang bermain sepanjang musim dengan lima pemain gantian.

"Kami bermasalah untuk melakukan serangan balas dan perlu mencari ketepatan dalam larian. Kami perlu bermain secara lebih fizikal."

Pemain tengah, Mateo Kovacic berkata, mereka masih berpeluang menang, contohnya selepas mencipta kebangkitan ke atas Napoli sebelum memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah musim 2012.

"Kami tidak bermain permainan terbaik dan keputusan pula tidak bagus, tetapi masih ada harapan dan kami bermotivasi untuk mempamerkan aksi terbaik," kata Kovacic.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 9:55 PM