PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel bercakap pada sidang media, semalam. FOTO AFP
PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel bercakap pada sidang media, semalam. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel berkata, Chelsea mahu membuktikan sesuatu pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, hari ini, sekali gus bangkit selepas kekalahan mengejut 1-4 di tangan Brentford.

Juara Eropah itu kecundang buat kali pertama hujung minggu lalu selepas pemilik, Roman Abramovich mengumumkan mahu menjual kelab itu pada bulan lalu, dan mereka tewas selepas mendahului pada perlawanan Liga Perdana Inggeris itu.

Kini mereka akan berdepan pendahulu liga Sepanyol itu buat kali kedua berturut-turut selepas mengatasi mereka 3-1 secara agregat di separuh akhir, tahun lalu sebelum mereka menewaskan Manchester City di final.

Tuchel menjangkakan Madrid yang juga juara Eropah 13 kali bukan lagi kuasa besar seperti ketika menang tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut dari 2016 hingga 2018, tetapi mengakui mereka memiliki banyak pengalaman.

"Pusingan begitu adalah sesuatu yang normal dan berubah pada satu masa dan kali ini, ia berlaku terhadap mereka," katanya pada sidang media menjelang perlawanan hari ini.

"Tetapi, kami perlu berwaspada dengan pasukan ini yang memiliki pengalaman, gaya dan kualiti untuk menampilkan prestasi istimewa pada malam dan keadaan istimewa.

"Bagi kami, memang istimewa apabila bertemu Real Madrid di suku akhir. Sebab itu kami agak teruja dan tidak dapat tidur lena memikirkan mengenai kedudukan mereka di Eropah.

"Kami mahu membuktikan sesuatu sekali lagi. Mahu buktikan kepada diri sendiri dan mencapai sasaran pada ketika keadaan istimewa dan menentang lawan istimewa."

Tuchel berkata, dia tidak mengambil tahu mengenai komitmen pemain pertahanan, Andreas Christensen, yang dikatakan hampir melengkapkan perpindahan percuma ke Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 9:30 AM