Martin Odegaard (kanan) hasilkan dua gol ketika berdepan Alaves dalam saingan La Liga pagi ini. FOTO EPA
Martin Odegaard (kanan) hasilkan dua gol ketika berdepan Alaves dalam saingan La Liga pagi ini. FOTO EPA
Reuters

KEMENANGAN selesa Real Sociedad di gelanggang sendiri ke atas Alaves, 3-0 awal pagi ini, membolehkan pasukan itu berada di kedudukan kedua carta La Liga.

Kemenangan itu adalah buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan liga buat Sociedad sementara Sevilla gagal mengekalkan kelebihan dua gol yang dihasilkan pada babak pertama sebelum tewas 2-3 kepada Eibar di gelanggang lawan.

Sociedad menjaringkan semua gol ketika penguasaan pada babak pertama, mendahului jaringan pada minit ke-19 menerusi Mikel Oyarzabal yang tenang menolak masuk ke gawang gol selepas menerima hantaran Martin Odegaard.

Oyarzabal yang juga pemain kebangsaan Sepanyol turut menyumbang kepada gerakan menghasilkan gol kedua selepas hantaran lintang dari sayap kiri membolehkan Willian Jose melakukan tandukan pada minit ke 32.

Oyarzabal menjadikan jaringan 3-0 hasil sepakan penalti, sementara nasib malang berterusan menimpa Alaves apabila Manu Garcia di perintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-85.

Sociedad berada di kedudukan kedua dalam carta liga dengan memungut 13 mata selepas enam perlawanan, satu mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid. Alaves berada di kedudukan ke 17 dengan lima mata.

Pemain pasukan Eibar merai kemenangan ke atas Sevilla. FOTO EPA
Pemain pasukan Eibar merai kemenangan ke atas Sevilla. FOTO EPA

Nasib malang menimpa Sevilla apabila seperti selesa mencatat kemenangan selepas mendahului perlawanan 2-0 pada babak pertama di Eibar, tetapi pasukan lawan yang berada dalam kelompok bawah liga itu menunjukkan kebangkitan semula di babak kedua permainan untuk mencatat kemenangan pertama pada musim ini.

Pemain sayap Argentina, Lucas Ocampos menjaringkan gol buat barisan Sevilla kendalian Julen Lopetegui berada di depan pada minit ke 11 menerusi rembatan menewaskan penjaga gol Marko Dmitrovic dan pemain Sepanyol, Oliver Torres menghasilkan gol kedua pada minit ke-33.

Eibar bangkit pada pertengahan perlawanan di babak kedua dengan permulaan jaringan menerusi penalti yang disempurnakan pemain sayap Chile, Fabian Orellana dan jaringan semangat itu mengubah rentak permainan sehingga berjaya menghasilkan dua gol dalam masa lima minit di penghujung babak perlawanan.

Pedro Leon menghukum kesilapan yang dilakukan antara penjaga gol Sevilla, Tomas Vaclik dan rakan sepasukannya Diego Carlos untuk gol penyamaan pada minit ke-77 sebelum pemain pertahanan Cote menghasilkan jaringan kemenangan dari sepakan percuma.

Sevilla turun di tangga ke tujuh dengan 10 mata selepas enam perlawanan sementara Eibar mendaki dari kedudukan dua terbawah ke kedudukan 16 anak tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:39 AM