SPFC sudah memohon kepada MFL untuk penundaan perlawanan dengan mengemukakan keputusan ujian. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SPFC sudah memohon kepada MFL untuk penundaan perlawanan dengan mengemukakan keputusan ujian. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Firdaus Hashim & Asrol Awang


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan Liga Super yang menemukan Sri Pahang FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok terpaksa ditunda selepas skuad Sri Pahang FC disahkan positif Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya menerima laporan daripada wakil Pantai Timur itu pada hari ini di mana seramai 20 pemain dan pegawai dijangkiti Covid-19.

Jelas Stuart, kesan daripada insiden itu, Sri Pahang yang bakal menjalani tempoh kuarantin bermula hari ini terpaksa memohon penundaan perlawanan menentang Terengganu FC serta Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa ini selain aksi pertama Piala FA menentang Manjung City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 12 Mac ini.

Katanya lagi, pasukan di Liga Perdana iaitu UiTM FC turut berdepan masalah sama apabila 12 pemain didapati positif Covid-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala, sekali gus menyaksikan perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok dan aksi Piala FA bertemu Kuching City FC pada 15 Mac terpaksa ditunda.

Sementara satu lagi pasukan dari Liga Perdana, Perak FC turut mengesahkan seramai enam pemain positif Covid-19 dan 14 pemain kontak rapat bergejala sekali gus perlawanan bertemu Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh malam esok ditunda.

"Prosedur operasi standard (SOP) terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak Covid-19 atau kontak rapat bergejala.

"Hari ini kami menerima laporan berhubung pasukan yang berdepan masalah positif Covid-19 antaranya adalah Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC di mana perlawanan ketiga-tiga pasukan ini terpaksa ditunda sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin.

"Satu perkhabaran yang amat sukar buat Liga Malaysia yang membuka tirai pada malam ini dan esok. Saya mendoakan kesejahteraan buat Sri Pahang FC, Perak FC, UiTM FC, PDRM FC serta Skuad Projek FAM-MSN dan saya berharap pasukan lain sentiasa mengamalkan SOP bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

"MFL ingin merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab yang mengambil tindakan pantas dalam isu gejala Covid-19 ini dan ini membuktikan SOP membabitkan sukan bola sepak berada penyeliaan di peringkat tertinggi bagi memastikan industri Liga Malaysia bebas daripada ancaman wabak ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Semalam MFL mengumumkan dua aksi Liga Perdana iaitu perlawanan Selangor II dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam pada malam esok dan PDRM FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin ini terpaksa ditunda.

Ini kerana MFL menerima permohonan daripada PDRM FC untuk menunda perlawanan di mana seorang jurulatih dan 14 pemain mereka didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama.

Jadual perlawanan Piala FA yang menemukan Skuad Projek FAM-MSN dan Tok Janggut Warriors FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 11 Mac ini dan pertemuan PDRM FC bersama Perlis United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 15 Mac juga terpaksa ditunda.

Sementara itu, Sri Pahang FC memaklumkan perlawanan skuad itu berdepan TFC yang dijadualkan di Stadium Darul Makmur malam esok, ditunda.

Tarikh baharu perlawanan itu akan diumumkan kemudian selepas sebahagian pemain dan pegawai Sri Pahang didapati positif wabak Covid-19.

Menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu hari ini, Sri Pahang sudah memohon kepada MFL untuk penundaan perlawanan dengan mengemukakan keputusan ujian serta pengesahan daripada doktor pasukan dan berterima kasih atas pertimbangan.

"Kami di Sri Pahang memohon maaf kerana penyokong perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan aksi sulung pasukan.

"Namun sudah tentunya kesihatan dan keselamatan semua sentiasa menjadi keutamaan. Bersama-sama kita terus menjaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya menerusi hantaran itu.

Bagi penyokong yang sudah membeli tiket perlawanan Sri Pahang menentang TFC, tiket itu boleh digunakan untuk aksi yang dijadualkan semula nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:14 PM