PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema meraikan jaringannya ketika menewaskan Celta Vigo, Sabtu lalu. FOTO AFP
PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema meraikan jaringannya ketika menewaskan Celta Vigo, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Madrid: Berbanding orang lain, Carlo Ancelotti cukup masak dan tahu bagaimana sesuatu perkara berubah dengan pantas di Real Madrid.

Selepas kebangkitan sensasi menewaskan Paris Saint-Germain, Madrid diakui hebat. Mereka menundukkan antara kelab elit Eropah, memalukan musuh ekonomi dan menghilangkan bisa Lionel Messi serta meyakinkan Kylian Mbappe.

Mereka pada landasan memenangi La Liga dan tiba-tiba, pesaing kejuaraan untuk Liga Juara-Juara Eropah pula.

Tiga minggu kemudian, mereka masih di tangga teratas liga termasuk selepas kemenangan ke atas Celta Vigo, Sabtu lalu.

Tetapi, nasib Ancelotti kini seolah-olah tidak keruan.

Real Madrid terpaksa menunggu sehingga lewat hari ini untuk mengetahui sama ada pengendali itu boleh bersama pasukan ke Chelsea untuk perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah selepas diuji positif Covid-19, minggu lalu.

Malah, keputusan perlawanan ini akan menentukan nasibnya sebagai jurulatih pada musim depan.

Diakui betapa beratnya beban aksi 'El Clasico' apabila lapan bulan kerja keras yang baik dipadamkan oleh malapetaka dalam tempoh 90 minit selepas kecundang 0-4 di tangan Barcelona.

Kritikan hebat terhadap Ancelotti mengenai corak serangan balas, kurang penggiliran pemain dan gaya permainan pasif ketika tewas aksi pertama di tangan PSG, walaupun masih mendominasi di puncak La Liga.

Kekalahan 0-4 di tangan Barcelona di Santiago Bernabeu, pada ketika Madrid sepatutnya menjaringkan enam atau tujuh gol, membangkitkan kesangsian terhadap apa yang bakal berlaku di masa depan.

Barcelona kini 11 mata di belakang Real Madrid, tetapi kebangkitan skuad muda bimbingan Xavi Hernandez mampu menamatkan saingan sebagai pasukan terkuat di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 11:37 AM