PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti (kiri) bergurau dengan pemain pertahanan dari Brazil, Eder Militao ketika sesi latihan pasukannya. FOTO AFP
PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti (kiri) bergurau dengan pemain pertahanan dari Brazil, Eder Militao ketika sesi latihan pasukannya. FOTO AFP
AFP

Madrid: Carlo Ancelotti yang terkenal dengan sifat tenang serta riang dan kembali mencetuskan keharmonian seiring kejayaan Real Madrid, turut tidak terkecuali daripada perasaan gugup menjelang final Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool di Paris, awal pagi Ahad ini.

Tiada pengurus lain yang mara ke final Liga Juara-Juara Eropah sebanyak Ancelotti iaitu lima kali dan pengendali berusia 62 tahun itu menang tiga daripada empat penampilan terakhir dan penampilan pertama bersama AC Milan kira-kira dua dekad lalu iaitu pada 2003.

Tetapi, pengalaman tidak menjadikan bahang menjelang final itu semakin mudah.

"Tempoh paling tertekan selalunya tiga atau empat jam sebelum perlawanan. Ia adalah perkara fizikal dan saya lebih banyak berdepan dengan keadaan itu pada musim ini," kata Ancelotti pada sidang media, Selasa lalu.

"Badan lebih banyak berpeluh, degupan jantung lebih kencang dan banyak fikiran negatif muncul. Percayalah cakap saya, tiada tablet atau ubat boleh diambil, sebaliknya anda perlu melaluinya."

Pada ketika Ancelotti membuat pengakuan itu, wartawan mula ketawa sebelum pemain turut ketawa.

Ancelotti kemudian memulakan sesi latihan di Valdebebas dengan ucapan ringkas, skuad berkumpul dan berlatih sebelum bertepuk tangan apabila sesi latihan berakhir.

"Buat masa sekarang, kami perlu menikmatinya," kata Ancelotti.

"Kami tenang dan mereka pun tenang. Semua orang gembira, ia suasana yang bagus.

"Semakin gampir dengan perlawanan, akan muncul banyak perkara, rasa bimbang dan ia adalah situasi biasa. Hari ini adalah persediaan untuk beraksi di satu lagi final."

Kemampuan Ancelotti untuk mengawal dan memberi motivasi kepada pemain bermakna ramai yang mungkin terlepas pandang percaturan taktikalnya.

Real Madrid memenangi gelaran La Liga ketika masih berbaki empat perlawanan dengan kelebihan 13 mata di depan Barcelona.

Pada beberapa bulan awal, Ancelotti berjaya memperkukuhkan benteng Madrid yang agak longgar selepas pemergian Sergio Ramos dan Raphael Varane.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:00 PM