Dybala (kiri) beraksi dalam saingan Serie A Itali ketika menentang Salernitana di Turin. FOTO AFP
Dybala (kiri) beraksi dalam saingan Serie A Itali ketika menentang Salernitana di Turin. FOTO AFP
AFP

Milan: Paulo Dybala akan meninggalkan Juventus pada penghujung musim selepas kelab Serie A itu mengesahkan hari ini mereka tidak melanjutkan kontrak pemain Argentina yang dijadualkan tamat pada musim panas.

CEO Juve, Maurizio Arrivabene mengakhiri spekulasi selepas dia berkata kelab berkenaan tidak mengemukakan tawaran kepada wakil Dybala ketika perbincangan dilakukan di Turin sebelum ini.

Dybala menanti rundingan mengenai lanjutan kontrak selepas perjanjian secara lisan dipersetujui pada Oktober, yang menyaksikan peningkatan gaji lapan juta Euro (RM37 juta) semusim, telah dipertimbangkan semula oleh kelab.

"Dengan kehadiran (penyerang Dusan), Vlahovic (pada Januari) struktur bola sepak di kelab itu berubah. Projek Juventus juga berubah dan sebahagian daripada perubahan ini adalah termasuk kontrak Dybala yang pada hari ini tidak diperbaharui," kata Arrivabene.

"Adalah agak mudah untuk Juventus untuk mengurangkan tawaran tetapi ia mungkin tidak menghormati pihak Paulo."

Kini sebagai pemain bebas, media Itali melaporkan bahawa Dybala mungkin berpindah ke seteru tradisi Juve, Inter Milan dengan Atletico Madrid turut berminat mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 28 tahun itu bergelut dengan beberapa kecederaan sejak dua musim lalu dan Arrivabene berkata ketiadaan pemain itu memainkan peranan dalam keputusan kelab untuk tidak melanjutkan kontraknya.

Dybala menandatangani kontrak untuk Juventus dari Palermo pada 2015 dan sejak itu dia memenangi lima kejuaraan liga Serie A dan empat Piala Itali.

Dia juga beraksi dalam pasukan yang mara ke final Liga Juara-Juara 2017 sebelum tewas kepada Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 8:46 AM