MASSIMILIANO ALLEGRI
MASSIMILIANO ALLEGRI

TURIN:  Paulo Dybala menjaringkan gol selepas 44 saat buat Juventus namun mereka bergelut untuk menang 3-1 ke atas pasukan kental, Cagliari untuk kekal di tangga teratas Serie A dengan kelebihan enam mata.

Juventus yang menang 10 daripada 11 perlawanan liga, terpaksa menerima bantuan gol sendiri Filip Bradaric selepas Joao Pedro meledak gol penyamaan buat Cagliari.

Juan Cuadrado mengesahkan kemenangan Juventus dengan gol lewat permainan hasil gerakan Cristiano Ronaldo, namun sebelum itu Cagliari hampir menjadikan kedudukan terikat 2-2.

Jurulatih, Massimiliano Allegri masih lagi belum berpuas hati dengan mendakwa lapan gol yang mereka lepaskan setakat ini agak terlalu banyak.

“Kami harus mempertingkatkan teknik bertahan terutama sekali di bahagian tengah padang. Kami membenarkan terlalu banyak hantaran lintang. Ia tidak begitu baik. Malah selepas gol pertama, kami seakan hilang arah tuju,” kata Allegri di mana pasukannya akan menanti kunjungan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu ini.

Dybala memberikan permulaan cemerlang apabila dia yang menerima hantaran di penjuru petak penalti berjaya memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan sambil terjatuh untuk menewaskan Alessio Cragno.

Cagliari kembali bangkit dan selepas rayuan mereka untuk mendapat sepakan penalti, jurulatih Juve, Wojciech Szczesny terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan sepakan voli, Leonardo Pavoletti.

Pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 apabila Joao Pedro mengawal cantik hantaran lintang Darijo Srna sebelum menumpaskan Szczesny.

Bagaimanapun, Juve memperoleh gol saguhati dua minit kemudian melalui Bradaric, apabila tertampan masuk hantaran lintang Douglas Costa.

Ronaldo yang percubaannya terkena tiang pada aksi separuh masa kedua, menjadi pencetus jaringan ketiga melalui Cuadrado ketika perlawanan berbaki tiga minit dan Cagliari ghairah melakukan serangan balas. – Reuters

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 11:50 AM