STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal mempunyai padang berumput jenis Zeon Zoysia. FOTO Bernama
STADIUM Nasional Bukit Jalil bakal mempunyai padang berumput jenis Zeon Zoysia. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesediaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menaja perbelanjaan pertukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, Faizal menyambut baik kurniaan itu.

"Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil," tulisnya.

Terdahulu, Arena Metro cuba mendapatkan maklum balas daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung tajaan dari Tunku Ismail namun pihak PSM enggan mengulas.

Sebaliknya meminta agar ia diajukan kepada Faizal sebagai menteri yang bertanggungjawab.

Semalam, TMJ yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) meluahkan hasratnya untuk menanggung kos pertukaran padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan rumput jenis Zeon Zoysia yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Hasrat itu tampaknya bukan main-main atau sekadar sembang kedai kopi, apabila Tunku Ismail terus mengotakan janjinya apabila mengeluarkan cek untuk menyegerakan proses berkenaan, di mana ketika ini stadium kebanggaan negara itu masih menggunakan rumput Cowgrass.

Malah, Tunku Ismail turut mengesahkan pihaknya sudah mengatur kru penyelenggaraan dan melantik syarikat untuk memulakan kerja berkenaan dengan pemeriksaan akan dilakukan pada 19 Mac ini.

Apabila siap kelak, Stadium Nasional Bukit Jalil bakal memiliki padang berkualiti tinggi seperti terdapat di gelanggang rasmi JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 9:31 PM