NUNEZ menanduk masuk gol kemenangan Benfica. FOTO Reuters
NUNEZ menanduk masuk gol kemenangan Benfica. FOTO Reuters
AFP

Amsterdam: Benfica mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Ajax dalam aksi kedua peringkat 16 terakhir, awal pagi tadi.

Kemenangan 1-0 menerusi tandukan Darwin Nunez pada minit ke-77 di Amsterdam membolehkan kelab Portugal itu mara dengan agregat 3-2.

Pasukan pelawat gagal melakukan sebarang percubaan tepat sehinggalah penyerang Uruguay, Nunez menanduk masuk sepakan percuma Alex Grimaldo yang menyebabkan Johan Cruyff Arena sepi seketika.

Ajax yang mendominasi babak pertama gagal bangkit dan tersingkir manakala juara dua kali Piala Eropah, Benfica menunggu undian suku akhir Jumaat ini.

Selepas menyingkirkan Barcelona di peringkat kumpulan, mereka mara ke peringkat lapan terakhir buat kali pertama sejak 2016.

"Kami antara lapan kelab terbaik Eropah. Pasukan bekerja keras untuk mencapainya ketika menentang lawan sangat sukar," kata jurulatih Benfica, Nelson Verissimo.

Penyerang Ajax, Sebastien Haller memburu jaringan dalam lapan perlawanan berturut-turut Liga Juara-Juara musim ini selepas meledak 11 gol dalam tujuh penampilan pertama di kejohanan itu.

Tetapi sebaliknya Nunez berusia 22 tahun yang mencuri tumpuan apabila menemui sasaran untuk kali ke-26 dalam semua kejohanan sejak permulaan kempen.

"Kami tidak cukup bagus dalam kotak penalti. Kami sepatutnya menjaringkan gol tetapi gagal dan kemudiannya gawang kami bolos," kata Haller.

"Ia perlawanan sempurna buat mereka. Kami kesal tetapi inilah bola sepak, tidak semestinya pasukan kuasai perlawanan akan menang. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:13 AM