HALLER (kanan) menjaringkan gol kedua Ajax selepas menghadiahkan gol penyamaan buat pasukan lawan. FOTO Reuters
HALLER (kanan) menjaringkan gol kedua Ajax selepas menghadiahkan gol penyamaan buat pasukan lawan. FOTO Reuters
AFP

Lisbon: Sebastien Haller meneruskan rentak jaringan di Liga Juara-Juara musim ini, apabila berjaya menemui sasaran selepas beberapa minit meledak gol sendiri untuk membantu Ajax mengikat Benfica 2-2 pada perlawanan pertama 16 akhir.

Gol sendiri Haller pada minit ke-26 memadamkan jaringan pembukaan juara Belanda itu yang disempurnakan Dusan Tadic di Estadio da Luz di Lisbon

Bagaimanapun, penyerang antarabangsa Ivory Coast itu meletakkan Ajax kembali di depan tiga minit kemudian.

Ia tidak cukup buat pasukan bimbingan Erik ten Hag untuk mencatat kemenangan selepas pemain antarabangsa Ukraine, Roman Yaremchuk masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua sebelum meledakkan gol penyamaan.

Haller setakat ini sudah meledak 11 gol dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan jaringan dua angka.

"Kami sedikit kecewa. Kami perlu dan sepatutnya melakukan dengan baik dan kami kecewa dengan keputusan seri 2-2.

"Ia juga bukan menggembirakan (gol sendiri) terutama selepas memberikan mereka jaringan penyamaan dan menaikkan semangat mereka.

"Ia mengganggu moral kami namun memang tugas kami untuk kekal fokus, untuk tidak menyerah kalah dalam situasi seperti itu," kata Haller.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 10:14 AM