BENZEMA meraikan jaringan ketiga Madrid. FOTO Reuters
BENZEMA meraikan jaringan ketiga Madrid. FOTO Reuters
AFP

Palma, Sepanyol: Karim Benzema muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Perancis apabila meledak dua gol ketika membantu Real Madrid menewaskan Mallorca 3-0 awal pagi tadi dan mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga dengan kelebihan 10 mata.

Tetapi bintang Perancis itu dikeluarkan pada lewat permainan susulan kecederaan di kaki kiri sekali gus memeningkan Madrid menjelang aksi Clasico menentang Barcelona Ahad ini.

Ketiadaan Benzema dalam aksi di Santiago Bernabeu pastinya dirasai Madrid selepas dia meneruskan momentum cemerlang dengan dua gol di Son Moix.

Selepas meledak hatrik membantu kelabnya menewaskan Paris Saint-Germain 3-1 minggu lalu, pemain berusia 34 tahun itu menyempurnakan penalti ketika menentang Mallorca untuk jaringan ke-412, satu gol memintas Thierry Henry dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Benzema kemudiannya meledak gol ke-413 buat dirinya menerusi tandukan menarik namun dibayar dengan harga tinggi apabila mengalami kecederaan.

Berdasarkan jurang besar Madrid ke atas Sevilla di puncak La Liga, aksi Clasico hujung minggu ini tidak begitu penting berbanding pertembungan sebelum ini namun Barcelona kendalian Xavi pastinya mahu melihat kemampuan anak buahnya di kubu musuh paling ketat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 8:06 AM