MORATA (kanan) buka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan.
MORATA (kanan) buka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan.
AFP

Barcelona: Real Madrid sekali lagi bagaikan tidak kisah tanpa kelibat Cristiano Ronaldo apabila mereka membelasah Deportivo la Coruna 6-2 untuk kekal bersaing hebat memburu kejuaraan La Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Madrid dan Barcelona terikat 78 mata di puncak carta tetapi Real mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan berbanding pencabar mereka.

Barca kekal di puncak kerana rekod pertembungan sesama sendiri yang lebih bagus ketika Lionel Messi meledak dua gol membantu menyingkirkan Osasuna ke divisyen dua selepas menang besar 7-1.

Bos Madrid, Zinedine Zidane melakukan sembilan perubahan pemain berbanding pasukan yang tewas 2-3 kepada Barca Ahad lalu bagi menyemarakkan semula perebutan kejuaraan.

Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale yang cedera diketepikan daripada skuad Madrid bagi aksi gelanggang lawan ketiga berturut-turut namun ketiadaan mereka tidak dirasai.

“Ia satu tugas berat buat seorang jurulatih. Apabila mereka bermain seperti hari ini dan kemudian mereka mungkin tidak bermain pada perlawanan berikutnya,” ujar Zidane.

“Kami sedar kami mempunyai sekelompok pemain hebat dan mereka bersedia berdepan sebarang cabaran bermula sekarang hingga hujung musim.”

Penyerang Alvaro Morata merembat masuk gol pertama seawal minit pertama, James Rodriguez meledak dua gol pada minit ke-14 dan 66, manakala Lucas Vazquez (m-44), Isco (m-77) dan Casemiro (m-77) melengkapkan penguasaan Madrid.

Bagaimanapun, benteng Madrid hanya mampu sekali tidak dibolosi dalam 15 perlawanan terakhir apabila Florin Andone (m-35) dan Joselu (m-84) menyumbat gol buat tuan rumah.

Di Nou Camp, Messi mengumpul 33 gol dalam liga setakat ini untuk kekal mendahului senarai penjaring terbanyak apabila meledak pada minit ke-12 dan 61, Andre Gomes juga dua gol (m-30 dan 57), Paco Alcacer dua gol (m-64 dan 86) dan pertahanan Argentina, Javier Mascherano meraih gol sulungnya bersama Barca selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 10:07 AM