AB Ghani menjelaskan kedua-dua pemain itu sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya. FOTO MFL
AB Ghani menjelaskan kedua-dua pemain itu sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Kelantan FC muncul pasukan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang dijangkiti Covid-19 dengan membabitkan dua pemainnya.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang turut mengumumkan aksi Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC II di Stadium Perak, Ipoh, esok terpaksa ditunda.

Jelas Ghani, dua pemain itu kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya selepas didapati positif dengan wabak itu.

"Kedua-dua pemain Kelantan FC itu yang didapati positif menerusi Ujian Calitan RTK Antigen dan PCR yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Isnin, 3 Mei lalu.

"Pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor 2 mengikut SOP Covid-19 yang ditetapkan.

"Sementara pemain-pemain lain tidak berdepan masalah di mana status mereka adalah negatif Covid-19 tetapi perlawanan Kelantan FC bertemu Perak II terpaksa dipinda.

"Ini kerana naratif kuarantin yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 10 hari dan tempoh itu sudah melepasi tarikh jadual perlawanan mereka pada Jumaat ini.

"Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif Covid-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan," katanya.

Dalam pada itu, MFL turut mengumumkan bahawa empat perlawanan Liga Super dan Liga Perdana akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan.

Empat perlawanan itu membabitkan dua aksi Liga Super di antara UiTM FC dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu ini dan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad ini.

Manakala dua lagi perlawanan yang akan berlangsung tanpa penonton adalah aksi Liga Perdana di antara Skuad Projek FAM-MSN dengan Terengganu FC II di Stadium UiTM Shah Alam, esok dan Selangor FC 2 menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Sabtu ini.

Dengan mengambil kira ketetapan terbaharu itu, tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang sudah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

"MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Selangor jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas- petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

"Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 3:56 PM