BOJAN Hodak pada sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC malam tadi. FOTO Danial Saad
BOJAN Hodak pada sidang media selepas perlawanan menentang Penang FC malam tadi. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: "Saya percaya ini adalah permainan terburuk dalam tempoh dua tahun."

Itu luahan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak selepas aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.

The City Boys pulang kehampaan selepas tewas 1-0 mengulangi episod kegagalan mencetak sebarang gol dalam perlawanan menentang Melaka United pada 15 September lalu.

Pasukan itu beraksi tempang tanpa tonggak utama antaranya Declan Lambert dan Zhafri Yahya yang kini berada dalam skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Raja Thailand 2022.

Jurulatih kelahiran Croatia turut mengakui benteng pertahanan dan jentera serangan yang goyah menjadi antara punca pasukan itu mempamerkan aksi kurang memuaskan.

"Saya fikir kami memasuki permainan dalam keadaan yang teruk. Kami pasukan yang bekerja keras tetapi kami tiada kualiti untuk menang hari ini (semalam).

"Setiap perlawanan kalau tidak berada pada tahap (kekuatan pemain) 100 peratus tidak boleh menang. Ini permainan kedua berturut-turut yang kami tidak dapat menang," katanya.

Hodak berkata, Penang FC layak meraih kemenangan dengan beberapa pemain dilihat bermain dengan sangat bagus.

"Babak pertama ada dua tiga percubaan berbahaya tetapi pemain kami cepat bertindak selepas 20 hingga 30 minit kami bangkit dengan agresif tetapi gagal menterjemahkan dalam bentuk gol," katanya.

Terdahulu beliau berkata, pasukannya akan berangkat empat hari lebih awal ke Uzbekistan untuk aksi final antara zon Piala AFC.

KL City menempah pertemuan dengan wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada perlawanan yang dijadual berlangsung pada 5 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 12:52 PM